KENALI PUSAT ISLAM UTM

Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia merupakan sebuah pusat kecemerlangan yang bertanggungjawab meningkatkan kualiti modal insan serta berperanan membuat perancangan dan melaksanakan program dan aktiviti berkaitan keintelektualan Islam, kemasyarakatan dan kebajikan. Segala program yang dijalankan sepanjang masa adalah untuk memberikan manfaat kepada seluruh warga kampus dan masyarakat sekitar. Lokasi Pusat Islam yang berada di tengah-tengah pusat pentadbiran UTM memberikan erti yang begitu mendalam kepada warga kampus termasuk pelajar dan staf. Kedudukan ini adalah amat bertepatan sekali dengan moto UTM ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’. Web ini akan memberikan gambaran secara umum berkaitan pengurusan, pembangunan, pelaksanaan program dan perkembangan Pusat Islam dari semasa ke semasa.

VISI

DIIKTIRAF SEBAGAI PUSAT KECEMERLANGAN PEMBANGUNAN SYIAR ISLAM SEIRING DENGAN PERKEMBANGAN TEKNOLOGI

MISI

MENJADI PENERAJU DALAM PEMBANGUNAN UMMAH BERTERASKAN BILAI-NILAI ISLAM MELALUI TEKNOLOGI INOVATIF DEMI MENJANA INSAN BERKUALITI

OBJEKTIF

  • Menjadi pusat kecemerlangan Syiar Islam melalui aktiviti pembudayaan ilmu.
  • Menjadi pusat rujukan dan khidmat kepakaran dalam hal ehwal Islam seiring dengan perkembangan teknologi.
  • Menjadi pusat pembangunan sosial melalui usaha perpaduan dan aktiviti kemasyarakatan.
  • Menjadi peneraju dalam bidang pendidikan dan dakwah bagi melahirkan generasi yang berkualiti.
  • Meningkatkan pengajian ‘undergraduate’.
  • Mempromosi penyelidikan & pengajian yang excellent.
  • Meningkatkan latihan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat.
  • Mempromosi pengantarabangsaan & mencapai bertaraf dunia.
  • Mempertingkatkan perkhidmatan dan perhubungan masyarakat.
  • Menyediakan pengurusan berkualiti dan pengurusan risiko yang berkesan.

UNIT-UNIT DI BAWAH PENTADBIRAN PUSAT ISLAM UTM

Unit Takmir Masjid

Menguruskan hal ehwal pengurusan masjid, pengurusan jenazah & program-program pengimarahan masjid. 

Unit Pentadbiran

Menguruskan hal ehwal pengurusan pentadbiran pejabat, kewangan, kualiti, pelaporan.

Unit Zakat & Kebajikan

Menguruskan hal ehwal kutipan & agihan zakat, pengurusan laporan kewangan zakat, program pembangunan asnaf dan menguruskan aktiviti berkaitan kebajikan staf & mahasiswa.

Unit Hal Ehwal Pelajar

Pengurusan aktiviti kerohanian mahasiswa, penyelaras kelab dan persatuan Islam & memantau surau-surau kolej kediaman.

Unit Pendidikan, Hal Ehwal Wanita (HELWA) & ICT

Menguruskan hal ehwal pentadbiran Tadika & Taska Ihsan, Sekolah Agama UTM, program & aktiviti HELWA, program cuti sekolah & pengurusan ICT Pusat Islam UTM.

Unit Latihan, Dakwah & Penerbitan

Menguruskan dan mengadakan program-program pembangunan staf dan mahasiswa, sambutan hari kebesaran Islam, aktiviti dakwah dan saudara kita, penerbitan Pusat Islam UTM

SENARAI PERKHIDMATAN DI BAWAH PUSAT ISLAM UTM

Tadika Ihsan UTM

Tadika Ihsan UTM adalah merupakan sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak yang terletak di dalam kawasan UTM Johor Bahru di mana ianya di bawah urus tadbir dan penyeliaan Pusat Islam UTM. Tadika ini telah memulakan operasinya sejak awal tahun 90-an dan berdaftar di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Tadika ini menggunapakai silibus Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan berkonsepkan ‘Learn Through-Play Approach’ dengan menekankan kecemerlangan dari segi akademik, sahsiah dan rohani.

Taska Ihsan UTM

Taska Ihsan UTM adalah merupakan sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang terletak di dalam kawasan UTM Johor Bahru dan di bawah urus tadbir dan penyeliaan Pusat Islam UTM. Tujuan utama penubuhan taska ini adalah bagi memberi kemudahan penjagaan anak kepada warga UTM yang berumur seawal 2 bulan hingga 4 tahun. Matlamat utamanya adalah untuk mewujudkan sebuah pusat asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang kondusif dan komprehensif serta memberikan perkhidmatan dan asuhan yang terbaik agar anak-anak ini dapat membangun potensi diri dan seimbang dari segi jasmani dan rohani.

MSI Mart

MSI Mart adalah kedai serbaneka yang diusahakan oleh Pusat Islam UTM dan telah memulakan operasinya sejak tahun 2011. Kedai serbaneka ini menjual pelbagai barangan keperluan harian, produk-produk halal dan keperluan Muslim. Contohnya barangan kelengkapan ibadah, keperluan haji dan umrah, makanan sunnah, ubat-ubatan, alat tulis dan banyak lagi keperluan harian yang juga turut disediakan di sini.

Waktu operasinya adalah pada hari Ahad hingga Khamis bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Sekolah Agama UTM

Sekolah Agama UTM telah beroperasi sejak tahun 1993 di bawah pengurusan Jabatan Agama Johor. Oleh kerana keadaan bangunannya yang sudah usang dan tidak selamat digunakan, operasi SAUTM telah ditangguhkan sehingga bangunan baharunya siap dibina. Kini, pihak universiti sedang menggerakkan Tabung Pembangunan SAUTM bagi mengumpul dana pembinaan bangunan SAUTM yang baharu. Untuk maklumat lanjut, sila klik butang di bawah.

SEJARAH PENUBUHAN PUSAT ISLAM UTM

Rancangan menubuhkan Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan ini adalah bermula dari satu perbincangan antara Naib Canselor dengan tenaga pengajar Jabatan Pendidikan Islam pada 27 Mei 1990. Dalam perbincangan ini Naib Canselor merasakan perlunya ditubuhkan satu pusat/organisasi yang dapat menyelaraskan segala kegiatan berkaitan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang berpusat di masjid. Setakat ini kegiatan tersebut hanya dikendalikan secara berasingan oleh jabatan, bahagian, fakulti di universiti. Penubuhan pusat ini diharapkan dapat mewujudkan suasana kemasyarakatan yang berteraskan Islam, memperbanyak dan menyelaraskan kegiatan aktiviti keislaman di segenap peringkat jabatan, fakulti dan bahagian-bahagian sama ada dalaman atau umum dan juga mewujudkan organisasi yang teratur dan memudahkan penyelenggaran serta menjadikannya lebih berkesan. Hasrat murni ini akhirnya berjaya menubuhkan Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan UTM yang ditempatkan di Masjid Sultan Ismail UTM. Pusat ini seterusnya dikenali sebagai Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS) yang menguruskan hal ehwal akademik dan pembangunan sosial masyarakat serta pengurusan Masjid Sultan Ismail UTM. Berkuatkuasa pada 12 November 2001 pihak Universiti memutuskan bahawa pentadbiran Masjid Sultan Ismail UTM diasingkan daripada pentadbiran Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS) (Kasiran, 2001).

Masjid Sultan Ismail UTM diberikan tanggungjawab yang lebih luas di antaranya ialah sebagai pusat perkembangan Islam dengan melaksanakan aktiviti atau program keilmuan yang boleh menggerakkan pembangunan dan kemajuan ummah, menjadi pusat rujukan dengan memberi khidmat kepakaran dan khidmat nasihat yang berkaitan dengan Agama Islam, dan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha perpaduan di kalangan umat Islam khususnya perpaduan di kalangan pelajar, staf dan juga masyarakat luar. Pengurusan Masjid Sultan Ismail dipindahkan di bawah pentadbiran Canselori yang kemudiannya dikenali sebagai Pejabat Naib Canselor. Kemudiannya Masjid Sultan Ismail UTM dinaiktaraf kepada Pusat Islam UTM pada 6 Julai 2009. Selaras dengan perubahan nama pengurusan ini, aktiviti-aktiviti berkaitan Masjid Sultan Ismail dan pembangunan syiar Islam di Universiti Teknologi Malaysia dikendalikan sepenuhnya oleh Pusat Islam. Pusat Islam UTM adalah institusi penting yang mempunyai fungsi yang sangat luas berperanan sebagai pusat kegiatan ibadat, pusat kegiatan dakwah dan ilmu, pusat pentadbiran, pusat kegiatan sosial dan juga berperanan membangunkan modal insan dan memacu ummah amnya serta staf dan mahasiswa UTM khususnya ke tahap kecemerlangan di dunia dan akhirat (Wan Mohd Zawawi, 2009).

Hakcipta © 2020 Pusat Islam UTM
Kemaskini Terakhir : 04 Jun 2020.