≈ Persoalan:
Apakah hukum melakukan tatoo dan apakah yang patut dibuat pada mereka untuk menghilangkan tatoo tersebut?
≈ Cara Pengambilan Hukum:
1. Takrif tatoo: Di dalam bahasa arab disebut “الوشم” iaitu mencucuk jarum atau lainnya pada kulit belakang tapak tangan dan pergelangan tangan atau pada muka atau pada bibir dan lain-lainnya sehingga mengalir darah kemudian darah menjadi beku dan seterusnya menjadi kekal.
2. Dalil haram tatoo pada lelaki dan perempuan yang menjadi tukang tatoo atau yang di tatoo:
Hadis Rasullah saw maksudnya: Daripada Abdullah bin Mas’ud ra: Rasulullah telah bersadba: “Allah melaknati tukang tatoo dan orang yang meminta dibuat tatoo dan orang yang mencukur bulu kening dan orang yang mengubah gigi demi kecantikan dan yang mengubah ciptaan Allah”.
3. Sebab pengharaman:
i. Kawasan tatoo menjadi najis kerana darah yang beku padanya.
ii. Mengubah kejadian/ciptaan Allah.
iii. Menyakiti dan memudaratkan tubuh badan.
iv. Terhalang air untuk berwudhuk dan mandi hadas.
4. Hukum menghilangkan tatoo jika boleh dibuat melalui rawatan adalah wajib. Tetapi jika tidak boleh dihilangkan melainkan dengan mencederakannya dan jika ditakuti mudharat atau mencacatkan atau memburukkan pada anggota seperti pada muka dan dua tapak tangan, tidak wajib dihilangkan. Dan wajib bertaubat kepada Allah. Jika tidak memudharatkan wajiblah menghilangkannya.
≈ Keputusan Fatwa:
1. Hukum melakukan tatoo sama ada tukang tatoo ataupun yang di tatoo adalah haram dan kedua pelakunya wajib bertaubat dengan segera.
2. Hukum menghilangkan tatoo adalah seperti berikut:
i. Wajib menghilangkan tatoo jika boleh dibuat melalui rawatan.
ii. Jika tidak boleh kecuali dengan pembedahan, pencederaan/melukakan, jika ditakuti dengan pembedahan tersebut kemudharatan yang amat ketara atau kecacatan yang menghodohkan pada anggota yang zahir seperti muka dan dua tapak tangan maka tidak wajib dihilangkan dan wajib bertaubat dengan segera.
iii. Sekiranya dengan pembedahan tidak memudaratkan maka wajiblah dilakukan dan wajib juga bertaubat.
sumber: (الفقه الاسلامي وأدلته: جزء 4, موك سورت 2682,2683)