Skim cepat kaya

≈ Persoalan:
Apakah hukum skim cepat kaya?

≈ Cara Pengambilan Hukum:
1. Skim cepat kaya sebenarnya adalah satu dari aktiviti skim pengambilan deposit secara haram. Pengambilan deposit secara haram ialah perbuatan menerima, mengambil atau bersetuju menerima deposit tanpa lesen yang sah di bawah akta dan institusi kewangan (ABIK) 1989.

2. Mengikut kebiasaannya sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur skim cepat kaya atas terma-terma bahawa wang deposit itu akan dipulang balik dengan faedah atau keuntungan yang begitu tinggi mengatasi kadar faedah yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen.

3. Menjalankan sesuatu operasi skim cepat kaya yang melibatkan pengambilan deposit adalah satu kesalahan dari segi undang-undang kerana penganjur tidak mempunyai lesen sah untuk menerima atau mengambil deposit.

4. Institusi yang boleh dan dibenarkan mengambil deposit daripada orang ramai hanyalah:
i) Bank-bank perdagangan
ii) Syarikat-syarikat kewangan
iii) Lain-lain institusi yang diberi kuasa di bawah undang-undang untuk meneriam deposit.

5. Janji-janji keuntungan tinggi dan lumayan dalam tempoh yang singkat oleh penganjur tidak berlesen inilah yang menjadi tarikan kepada pelabur menyertai skim cepat kaya tanpa menyedari risiko yang akan dihadapi.

6. Skim cepat kaya adalah aktiviti yang:
i) Menyalahi undang-undang di bawah akta (ABIK) 1989
ii) Hanya memusingkan wang pelaburan untuk diagihkan kepada sebahagian pelabur lama sebagai faedah.
iii) Tidak berbentuk muamalat Islamiah kerana adanya unsur:
– Perniagaan tidak jelas atau telus
– Riba’ (faedah melebihi kadar munasabah).
– Kezaliman, penindasan dan penipuan.
– Mengumpul wang tanpa perniagaan.
– Tidak memenuhi rukun jual beli.
– Merugikan sebahagian besar pelabur.
– Menimbulkan pertelingkahan dan permusuhan.
– Keuntungan tanpa usaha.
– Pelabur tidak memahami jenis perniagaan yang disertai.
– Tidak dijamin keuntungan bahkan dijamin kerugian.
– Tidak ada sifat amanah.
iv) Boleh meracuni fikiran masyarakat hingga menyebabkan mereka melibatkan diri yang akhirnya mengalami kerugian.
♦ Firman Allah di dalam surah an-nisa’ ayat 29:
√ Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali denagn (jalan) perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuhan sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu.”

≈ Keputusan Fatwa:
Skim cepat kaya adalah pelaburan batil dan haram hukumnya. Setiap umat islam hendaklah menjauhi dan mengelakkan dirinya dari terlibat dengan skim ini. Bagi mereka yang telah terlibat hendaklah dia bertaubat dengan segera.

sumber: (الفقه الاسلامي وأدلته: جزء 4, موك سورت 451)