Pengenalan Masjid Sultan Ismail

Sejarah Pembinaan

Universiti Teknologi Malaysia mempunyai masjidnya sendiri yang terletak di kampus Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang menjadi institusi dan nadi kepada penyebaran syiar Islam di kampus Jalan Semarak dan kawasan sekitarnya. Apabila UTM berpindah ke Sekudai, Johor dan menjadi kampus induk, pembinaan masid telah dimasukkan dalam perancangan pelan awal kewujudan dan pembinaan kampus.

Perancangan kampus UTM Sekudai adalah berdasarkan pada konsep pemusatan aktiviti-aktiviti gunasama utama yang berpusatkan dengan bangunan masjid sesuai dengan moto UTM, untuk Tuhan dan Manusia dan dikelilingi oleh bangunan-bangunan lain yang jaraknya boieh dihubungi dengan berjalan kaki sahaja.

Aktiviti-aktiviti gunasama ialah bangunan-bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, Dewan Sultan Iskandar, Bangunan Pentadbiran serta Bangunan Persatuan Pelajar. Bangunan-bangunan aktiviti gunasama utama ini dikelilingi oleh bangunan-bangunan fakulti dan semuanya ini diistilahkan sebagai Pusat Akademik.

Masjid Sultan Ismail (MSI) ini mula didirikan dalam tahun 1986 dan siap pada tahun 1990. Kos pembinaannya ialah hampir 19 juta ringgit. Bangunan masjid ini ditempatkan  dikawasan tengah kampus yang merupakan bangunan utama dari segi pemandangan serta terletak di dataran tinggi. Ini menjadikan Masjid sebagai titik tumpu dalam perancangan pembinaan kampus dan perletakkannya di kawasan tengah adalah selaras dengan konsep pembelajaran Islam di mana Masjid merupakan sumber tempat mencari dan menyebarkan ilmu.

pembinaan masjid

Gambar ketika pembinaan Masjid Sultan Ismail, UTM

pembukaan masjid

Gambar Masjid Sultan Ismail, UTM setelah siap dibina

Konsep Reka Bentuk 

Rupabentuk MSI adalah mengutamakan ketinggian kerana ianya merupakan bangunan utama dan nadi Perancangan Kampus UTM keseluruhannya. Untuk mencapai konsep tersebut Masjid ini telah direka bentuk setinggi 3 tingkat dengan satu ‘basement’ bawah tanah dan tiga pasang menara yang berlainan ketinggian untuk mencerminkan tiga paras tersebut di damping rupabentuknya yang tinggi. Salah satu dari menara tersebut diadakan lif untuk pelawat-pelawat V.I.P meninjau kawasan kampus keseluruhannya. Bagi menerapkan ciri-ciri rekabentuk senibina Islam dengan gabungan rekabentuk senibina tradisional melayu, Masjid Sultan Ismail telah direka khas dengan kedua-dua ciri berkenaan.Bagi menentukan kewujudan dan pembinaan masjid ini benar-benar menepati hukum dan lunas-lunas Islam pembinaannya dirancang dengan teliti agar bersesuaian dengan falsafah dan konsep Islam. Perundingan dan rujukan telah dibuat dengan kerjasama Y.B. Dato’ Hassan Din Al Hafiz, Imam Besar Istana Negara pada waktu itu.

Kubah telah dipilih sebagai bumbung utama kerana ianya lazim digunakan dalam rekabentuk masjid dan memberi bentuk yang berlainan dari bumbung-bumbung rumah Melayu di sekelilingnya supaya dapat dikenali umum  bahawa di tengah-tengah kampus UTM adalan Masjid ataupun disebaliknya bangunan-bangunan lain adalah penyambung Masjid (The Extension of The Mosque). Bentuk kubah Masjid ini berdasarkan rekabentuk Kubah MasJid Al-Aqsar di Baltul Maqdis. Kemasan Kubah ialah dari kepingan tembaga berwarna hijau “Torquoise” dan bintang sebagai mercu tanda atau simbol kebesaran Islam.
Ukiran dinding diukir rupa yang bermotifkan geometri Islam. Kemasan dinding luar bangunan keseluruhannya adalah shanhai plaster. Tiang Masjid disaluti dengan batu marmar untuk mengindahkan lagi rupa bentuknya. Kemasan lantai untuk ruang utama jemaah lelaki diaras dua ialah permaidani, begitu juga ruang jemaah perempuan di aras tiga. Kemasan lantai lain keseluruhannya adalah terrazzo, jubin dan terdapat sedikit lantai batu marmar di ruang luar di aras dua.

Ruang jemaah wanita dikhaskan di ruang solat utama aras 1 (sisi kiri imam) dan aras 2. Ruang wuduk, bilik persalinan dan tandas wanita turut disediakan di kedua-dua aras. Seramai lebih kurang 740 jemaah wanita boleh dimuatkan dalam satu masa.

Tempat wuduk berunsur kemelayuan mempunyai rekabentuk bercirikan perigi. Jubin yang bermotifkan rekabentuk geometrik Islam menjadi hiasan di bahagian dinding sekitar tempat wuduk.
Sebahagian daripada pandangan di dalam ruang solat utama jemaah lelaki di aras satu Masjid Sultan Ismail. Konsep pembinaan di ruangan ini dan di bahagian serambi tepi Masjid telah direka khas dengan mengambil ciri-ciri tempat Saie dari Safa ke Marwah di Mekah.
Permukaan pintu masuk di susuk Masjid adalah berunsur pintu masuk Masjid-masjid di Negara Teluk Parsi, Iraq dan Iran. Railing Masjid diukir berbentuk railling yang biasa terdapat di rumah melayu.
Mimbar Masjid adalah berbentuk mimbar Masjid Nabawi dan Masjid Turki yang diperbuat dari kayu merbau dan berukiran Iada hitam.

Keluasan & Kapasiti Jemaah

Masjid Sultan Ismail boleh menampung jemaah seramai lebih 10,342 orang dalam satu masa termasuk 740 jemaah wanita yang dikhaskan di aras tiga. Keluasan lantai di basement ialah seluas 24,552 kaki persegi, lantai di aras satu seluas 40,962 kaki persegi dan lantai di aras dua seluas 20,992 kaki persegi dan lantai di aras tiga seluas 11,060 kaki persegi. Jumlah keseluruhan keluasan lantai ialah lebih kurang 100,000 kaki persegi.