Kewajipan zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di institusi penjara

≈ Persoalan:
Adakah orang tahanan dan banduan wajib membayar zakat fitrah ataupun tidak bagi diri dan orang yang di bawah tanggungan mereka?

≈ Cara Pengambilan Hukum:
Wajib mengeluarkan zakat fitrah sebab adanya 3 perkara berikut:
i) Islam.
ii) Terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadhan (dapat hidup dua juzu’ – bahagian – daripada Ramadhan dan Syawal)
iii) Adanya lebihan makanan dari yang diperlukan untuk dirinya dan keluarganya pada hari raya itu. orang Islam wajib mengeluarkan zakat untuk dirinya dan orang Islam yang nafkahnya menjadi tanggungannya.

Justeru, wajibnya membayar zakat fitrah adalah di sebabkan mampu mengeluarkan zakat fitrah. Jadi bagi yang tidak mampu, tidak berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah. Ibnu Al-Mundhir berkata: hal ini berdasarkan ijma’. Kita harus menegtahui siapa yang dapat di sebut مُعْسر (orang yang tidak mampu). مُعْسر ialah orang yang andai kata dia yang mengeluarkan zakat fitrah, tidak lagi mempunyai lebihan untuk dimakan sendiri dan keluarga yang menjadi tanggungannya pada malam hari raya dan siang harinya.

Ketahuilah, sebab seseorang itu menanggung zakat fitrah orang lain ada 3 perkara, iaitu:
i) kepemilikan
ii) nikah
iii) keluarga

Justeru, barang siapa berkewajipan menanggung seseorang dengan salah satu sebab dari ketiga perkara di atas, maka orang itu wajib menanggung fitrahnya.

Disebutkan zakat fitrah, kerana zakat tersebut diwajibkan setelah berbuka puasa dan disebutkan juga dengan zakat fitrah kerana untuk membersihkan jiwa dan agama dengan harapan amal baiknya bertambah.

Dalil diwajibkan zakat fitrah:
√ Dari Ibnu Umar r.a beliau berkata: maksudnya:
“Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah dari bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam sebanyak satu cupak kurma atau satu cupak gandum diberikan kepada tiap-tiap orang yang merdeka atau hamba Islam, baik lelaki atau wanita”

≈ Keputusan Fatwa:
Orang tahanan dan banduan wajib membayar zakat fitrah bagi diri dan orang di bawah tanggungan mereka jika telah memenuhi syarat-syarat kewajipan mengeluarkan zakat. Syarat-syarat tresebut ialah:
i) Islam.
ii) Terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadhan (dapat hidup dua juzu’ – bahagian – daripada Ramadhan dan Syawal)
iii) Adanya lebihan makanan dari yang diperlukan untuk dirinya dan keluarganya pada hari raya itu. orang Islam wajib mengeluarkan zakat untuk dirinya dan orang Islam yang nafkahnya menjadi tanggungannya.

Sumber (كفاية الأخيار: جزء 7 موك سورت 188-186)