Pengenalan Pusat Islam UTM

Visi

Diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan pembangunan Syiar Islam seiring dengan perkembangan teknologi


Misi

Menjadi peneraju dalam pembangunan ummah berteraskan nilai-nilai islam melalui teknologi inovatif demi menjana insan berkualiti

Objektif

i. Menjadi pusat kecemerlangan Syiar Islam melalui aktiviti pembudayaan ilmu.

ii. Menjadi pusat rujukan dan khidmat kepakaran dalam hal ehwal Islam seiring dengan perkembangan teknologi.

iii. Menjadi pusat pembangunan sosial melalui usaha perpaduan dan aktiviti kemasyarakatan.

iv. Menjadi peneraju dalam bidang pendidikan dan dakwah bagi melahirkan generasi yang berkualiti.

v. Meningkatkan pengajian ‘undergraduate’.

vi. Mempromosi penyelidikan & pengajian yang excellent.

vii. Meningkatkan latihan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat.

viii. Mempromosi pengantarabangsaan & mencapai bertaraf dunia.

ix. Mempertingkatkan perkhidmatan dan perhubungan masyarakat.

 

Kenali Pusat Islam UTM

Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia merupakan sebuah pusat kecemerlangan yang bertanggungjawab meningkatkan kualiti modal insan serta berperanan membuat perancangan dan melaksanakan program dan aktiviti berkaitan keintelektualan Islam, kemasyarakatan dan kebajikan. Segala program yang dijalankan sepanjang masa adalah untuk memberikan manfaat kepada seluruh warga kampus dan masyarakat sekitar. Lokasi Pusat Islam yang berada di tengah-tengah pusat pentadbiran UTM memberikan erti yang begitu mendalam kepada warga kampus termasuk pelajar dan staf. Kedudukan ini adalah amat bertepatan sekali dengan moto UTM ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’. Web ini akan memberikan gambaran secara umum berkaitan pengurusan, pembangunan, pelaksanaan program dan perkembangan Pusat Islam dari semasa ke semasa.

Sejarah Penubuhan Pusat Islam UTM

 

Rancangan menubuhkan Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan ini adalah bermula dari satu perbincangan antara Naib Canselor dengan tenaga pengajar Jabatan Pendidikan Islam pada 27 Mei 1990. Dalam perbincangan ini Naib Canselor merasakan perlunya ditubuhkan satu pusat/organisasi yang dapat menyelaraskan segala kegiatan berkaitan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang berpusat di masjid. Setakat ini kegiatan tersebut hanya dikendalikan secara berasingan oleh jabatan, bahagian, fakulti di universiti. Penubuhan pusat ini diharapkan dapat mewujudkan suasana kemasyarakatan yang berteraskan Islam, memperbanyak dan menyelaraskan kegiatan aktiviti keislaman di segenap peringkat jabatan, fakulti dan bahagian-bahagian sama ada dalaman atau umum dan juga mewujudkan organisasi yang teratur dan memudahkan penyelenggaran serta menjadikannya lebih berkesan. Hasrat murni ini akhirnya berjaya menubuhkan Pusat Perkhidmatan Kemasyarakatan UTM yang ditempatkan di Masjid Sultan Ismail UTM. Pusat ini seterusnya dikenali sebagai Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS) yang menguruskan hal ehwal akademik dan pembangunan sosial masyarakat serta pengurusan Masjid Sultan Ismail UTM. Berkuatkuasa pada 12 November 2001 pihak Universiti memutuskan bahawa pentadbiran Masjid Sultan Ismail UTM diasingkan daripada pentadbiran Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS) (Kasiran, 2001).

 

Masjid Sultan Ismail UTM diberikan tanggungjawab yang lebih luas di antaranya ialah sebagai pusat perkembangan Islam dengan melaksanakan aktiviti atau program keilmuan yang boleh menggerakkan pembangunan dan kemajuan ummah, menjadi pusat rujukan dengan memberi khidmat kepakaran dan khidmat nasihat yang berkaitan dengan Agama Islam, dan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha perpaduan di kalangan umat Islam khususnya perpaduan di kalangan pelajar, staf dan juga masyarakat luar. Pengurusan Masjid Sultan Ismail dipindahkan di bawah pentadbiran Canselori yang kemudiannya dikenali sebagai Pejabat Naib Canselor. Kemudiannya Masjid Sultan Ismail UTM dinaiktaraf kepada Pusat Islam UTM pada 6 Julai 2009. Selaras dengan perubahan nama pengurusan ini, aktiviti-aktiviti berkaitan Masjid Sultan Ismail dan pembangunan syiar Islam di Universiti Teknologi Malaysia dikendalikan sepenuhnya oleh Pusat Islam. Pusat Islam UTM adalah institusi penting yang mempunyai fungsi yang sangat luas berperanan sebagai pusat kegiatan ibadat, pusat kegiatan dakwah dan ilmu, pusat pentadbiran, pusat kegiatan sosial dan juga berperanan membangunkan modal insan dan memacu ummah amnya serta staf dan mahasiswa UTM khususnya ke tahap kecemerlangan di dunia dan akhirat (Wan Mohd Zawawi, 2009).

Pentadbiran Masjid Sultan Ismail

Adalah dimaklumkan bahawa pihak Universiti telah memutuskan supaya pentadbiran Masjid Sultan Ismail diasingkan daripada pengurusan Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS) berkuatkuasa mulai 12 November 2001. Melalui pengasingan ini Masjid Sultan Ismail akan ditadbirkan di bawah tanggungjawab Canseleri dan akan diketuai seorang Pengarah.

  1. 1. Masjid Sultan Ismail telah diberi tanggungjawab yang lebih luas di antaranya seperti berikut:-
  1.  
  2.    a. Sebagai Pusat Perkembangan Islam dengan melaksanakan aktiviti atau program keilmuaan yang boleh menggerakkan pembangunan dan kemajuan ummah:
  3.   b. Menjadi pusat rujukan dengan memberi khidmat kepakaran dan khidmat nasihat yang berkaitan dengan agama Islam: dan
  4.    c.  Menjadi pemangkin kepada usaha-usaha perpaduan di kalangan umat Islam khususnya perpaduan di kalangan pelajar, staf dan juga masyarakat luar.
  1.  
  2.  2. Dengan ini diharapkan semua pihak dapat mengimarahkan Masjid Sultan Ismail UTM sebagai pusat keilmuan berlandaskan Islam yang mampu meningkatkan daya intelektual dan kepimpinan ummah.
  3.  
  1.  3. Sebagai makluman Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS) akan terus diberi peranan seperti fakulti iaitu untuk melaksanakan aktiviti akademik termasuk perkara-perkara pengajaran dan pembelajaran, mengembangkan ilmu melalui penyelidikan, menerbitkan penerbitan-penerbitan ilmiah dan yang berkaitan.

 Pekeliling Pentadbiran Bil. 41/2001

 8 November 2001

Penubuhan Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia

 Adalah dimaklumkan bahawa pihak Universiti telah bersetuju dengan Penubuhan Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM) bagi menggantikan pengurusan Masjid Sultan Ismail UTM. Selaras dengan perubahan nama pengurusan ini, aktiviti-aktiviti berkaitan Masjid Sultan Ismail dan pembangunan syiar Islam dikendalikan sepenuhnya oleh PIUTM yang diketuai oleh Pengarah.

 Oleh itu, mulai tarikh Pekeliling Pentadbiran ini dikeluarkan, semua aktiviti dan fungsi berkaitan dilaksanakan sepenuhnya oleh PIUTM.

 Pekeliling Pentadbiran Bil. 35/2009

 6 Julai 2009